Subscribe my Youtube Channel


A splog or “spam blog” is a blog that steals content from other web sites, then aggregates and republishes the content on its own blog. Splogs are created primarily to make money from ads shown on the splog and/or promote affiliated web sites. Splog owners are too dishonest, lazy or stupid to create their own original content and instead thieve yours.

Friday, April 15, 2011

Konsert BN gagal saingi ceramah Pakatan

BN menganjurkan acara terbesarnya semalam, dengan mengadakan konsert terbuka di Pusat Komersil 101 di Jalan Tun Jugah, yang menjadi lokasi beberapa pusat penjaja yang mampu menampung ratusan pengunjung setiap malam.

Iklan dalam sebuah akhbar menjanjikan cabutan bertuah, yang kemudian merupakan set TV dan persembahan hiburan oleh penyanyi terkenal dari Semenanjung.

Penceramahnya ialah barisan calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk Pending, Kota Sentosa, Padungan, Batu Lintang and Batu Kawah, berucap bersama dengan pemimpin BN dari semenanjung.

Bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor merupakan penceramah pertama, dan seperti biasa, menghentam PKR, tetapi dalam nada yang lebih lembut kerana mungkin beliau tidak biasa dengan hadirin dari kalangan masyarakat Cina.

Ezam menggesa mereka supaya menolak bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan ramai pengasas PKR telah pun meninggalkan parti itu.

"Nombor pendaftaran parti saya ialah 007. James Bond," kata Ezam berseloroh, " Dan saya telah meninggalkan parti itu. Satu-satunya yang tinggal (antara pengasas PKR) ialah 001 - Dr Wan Azizah (Wan Ismail)".

Manakala ketua Pemuda SUPP, Sih Hua Tong - calon BN bagi kerusi Batu Lintang, pula dalam ucapannya menghentam DAP kerana memutarbelitkan sebutan nama SUPP - seperti yang dilaporkan oleh akhbar bahasa Cina - sebagai parti orang utan. Ia kerana sebutan SUPP dalam bahasa Cina hampir sama dengan sebutan perkataan orang utan.

Bagaimanapun, agak sukar untuk mengukur sama ada hadirin turut berkongsi sentimennya walaupun Sih bertanya sama ada mereka juga marah dengan gelaran seumpama itu.

Tindak balas hadirin agak lemah, berbanding dengan di perhimpunan Pakatan, tetapi apa yang jelas ialah calon SUPP bagi kerusi Pending - pakar kardiologi, Dr Sim Kui Hian, mempunyai penyokong yang ramai.

Sejumlah hadirin kelihatan beredar selepas ucapan Sim, yang dianggap salah seorang calon terkuat, yang dibariskan oleh BN dan
satu-satunya calon yang dianggap mempunyai peluang untuk menumbangkan penyandang kerusi itu dari DAP.

Kira-kira 2 km di Taman BDC, suasananya begitu berbeza sekali, dengan orang ramai berhimpit-himpit seperti 'tin sadin' untuk mendengar ceramah anjuran DAP di tempat letak kereta pusat perniagaan kecil di situ.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan penceramah utama yang berjaya mempersonakan para hadirin sebaik sahaja memulakan ucapannya.

Malaysiakini

MCLM dakwa TV3 putarbelit temubual Raja Petra

Presiden Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM) Haris Ibrahim berkata, beliau percaya kenyataan pengerusinya, Raja Petra Kamaruddin telah diputarbelit oleh stesen TV3.

Kenyataan berkenaan disiarkan stesen berkenaan dalam slot berita waktu perdana secara berturut-turut sejak malam kelmarin.

Haris menjelaskan, Raja Petra dalam temuramah berkenaan hanya menamakan seorang individu yang didakwa telah memberitahu beliau mengenai dakwaan berhubung penglibatan isteri perdana menteri dalam kes pembunuhan Altantuya.

"Tetapi suara latar (laporan TV3) itu berkata beliau mendapat maklumat dari beberapa individu," katanya mengulas temubual Raja Petra dengan pengarang kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah.

Kenyataan Raja Petra dalam temubual itu juga bukanlah satu "pengakuan," seperti dilaporkan stesen televisyen berkenaan.

Jelasnya, Raja Petra malah telah meminta pihak berkuasa menyiasat individu yang dinamakan dalam temubual berkenaan.

Haris juga berkata, temubual itu dijalankan selama lebih sejam pada Februari lalu.

Katanya lagi, Raja Petra memberitahu beliau demikian dalam satu perbualan telefon dengan penulis blog popular itu hari ini.

"(Kandungan) temubual selebihnya itu kita masih tidak tahu.

"Jadi saya cabar TV3 untuk siarkan temuramah itu sepenuhnya tanpa suntingan," katanya lagi kepada media di pejabat MCLM hari ini.

Tambahnya, beliau juga percaya Raja Petra telah "terlepas pandang" mengenai "bahaya" yang mungkin timbul apabila ditemuramah TV3.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan kenyataan perdana menteri yang menyatakan rasa lega kerana kebenaran berhubung kes Altantuya telah timbul.

"Adakah kebenaran tentang kes Altantuya telah keluar?," soalnya yang membangkitkan semula beberapa persoalan yang masih belum terjawab berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia itu.

"(Kes itu) cuma ditutup dalam fikiran perdana menteri, tapi belum ditutup di pandangan masyarakat awam.

"Siapa yang mengarahkan mereka dan kenapa (arahan diberikan)," soalnya, merujuk kepada dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang didapati bersalah dalam perbicaraan kes tersebut.

Haris (kiri) mendakwa ini adalah satu-satunya sebab mengapa (TV3) muncul dengan laporan yang disiarkan berturut-turut.

"Ini adalah untuk memberi maklumat salah kepada rakyat di Sarawak kerana ada pilihan raya esok," katanya lagi.



Malaysiakini

Polis siasat insiden tembakan libatkan calon BN

Polis Daerah Sri Aman hari ini mengesahkan menerima laporan satu insiden melibatkan tembakan senjata api yang dilepaskan oleh seorang calon BN.

Calon BN bagi DUN Bukit Begunan itu, Mong Dagang (kiri) didakwa melepaskan tembakan yang mengenai seorang individu, dipercayai seorang pegawainya.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum jelas sama ada tembakan yang dilepaskan itu dibuat dengan sengaja ataupun tidak kerana siasatan polis masih berjalan.

"Kita siasat bawah Akta Senjata Api. Lepas siasat, kita akan serah laporan pada pihak atasan," kata Ketua Polis Daerah Sri Aman ASP Mat Jusoh Muhamad kepada Malaysiakini.

"Jika dibuat secara sengaja, ada unsur jenayahlah. Tetapi perkara ini masih dalam siasatan dan saksi-saksi akan dipanggil (membantu siasatan)."

Menurut Mat Jusoh, pihaknya menerima aduan berhubung insiden tersebut yang berlaku pada minggu lalu.

Usaha Malaysiakini menghubungi Mong setakat ini belum berhasil.

Pagi ini, wakil rakyat DAP Jeff Oii menghebahkan perkara itu melalui Twitter dan meminta pengesahan daripada pengikutnya di laman sosial itu.

"Dengar-dengar calon BN (bagi kerusi) N26 Bukit Begunan lepaskan tembakan dan cederakan setiausahanya. Boleh sahkan perkara ini? (Ada) risiko dikeluarkan kelayakan (bertanding)," tulisan anggota parlimen Jelotong itu dipetik.

Kempen: Ada laporan, 'bukan serius'

Ketika ditanya kenapa DAP mahu menjadikan perkara itu isu dalam tempoh berkempen, Jeff menjelaskan, oleh kerana ia didakwa melibatkan pihak bertanding dalam pilihan raya, rakyat mestilah dimaklumkan.

"Calon mestilah bebas daripada sebarang dakwaan jenayah. Polis mestilah mengesahkan sama tembakan yang dilepaskan itu bebas daripada unsur jenayah kerana ia melibatkan pihak yang bertanding (dalam pilihan raya).

"SPR juga mesti dimaklumkan secepat mungkin dan perkara ini mesti dihebahkan kepada pemilih sebelum hari pengundian. Jika beliau didapati bersih, ia mesti diumumkan," katanya kepada Malaysiakini.

Bukit Begunan, kawasan majoriti Iban antara kubu kuat BN dalam pilihan raya negeri kali ini. Mong sebagai penyandang menghadapi persaingan tiga penjuru dengan calon PKR dan SNAP.

Sementara itu, mengulas tentang perjalanan kempen yang tinggal tidak sampai 24 jam lagi, Mat Jusoh berkata ia masih berjalan dengan aman tanpa sebarang insiden.

Ditanya tentang laporan yang diterimanya setakat ini, beliau mengakui ada menerima beberapa laporan tetapi bukan melibatkan perkara yang serius.

Malaysiakini

Rumah panjang S'wak dapat set televisyen, Astro

Kira-kira 2,000 unit dekoder Astro dan set televisyen akan diagihkan ke rumah-rumah panjang di pedalaman Sarawak tahun ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata pegawai daerah di kawasan terbabit akan mengenal pasti penerima set berkenaan.

"Setiap rumah panjang akan mendapat satu unit yang akan ditempatkan di bawah jagaan tuai rumah panjang.

"Semua unit itu akan diagihkan selepas pilihan raya negeri," katanya selepas mengunjungi Rh. Kilau, sebuah daripada lima rumah panjang di kawasan penempatan Sungai Tunoh di pedalaman Baleh, kira-kira sehari perjalanan menaiki bot panjang dan kenderaan pacuan empat roda dari Kapit.

Salang, yang menaiki penerbangan ke kawasan itu, berkata rumah panjang terbabit terletak di kawasan yang tidak dapat menerima siaran televisyen Radio Televisyen Malaysia atau TV3.

Beliau berkata pengagihan peralatan itu adalah sebahagian daripada program kerajaan untuk membantu penduduk luar bandar bukan sahaja bertujuan meluaskan pengetahuan mereka tetapi memperoleh maklumat tepat masa mengenai peristiwa yang berlaku di dalam negara, malah di seluruh dunia.

Terdahulu, ketika mengunjungi rumah panjang Rh. Kubu anak Sandom di Nanga Tada dekat Sibu, beliau berkata kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sangat mengambil berat tentang kebajikan penduduk luar bandar di negara ini.

"Atas alasan ini, beliau berhak mendapat sokongan padu kita untuk membolehkan beliau meneruskan usaha murni ini.

"Di Sarawak kita dapat melihat beliau mengumumkan banyak projek infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar sejak akhir-akhir ini. Ini merupakan satu daripada petunjuk yang besar," katanya.

Mengenai permohonan mendapatkan lebih banyak projek kampung Wi-Fi, Salang berkata beliau akan mengemukakan perkara itu untuk perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMK).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim, ketika melancarkan projek kampung Wi-Fi Nanga Machan di Kanowit pada Isnin lalu, berkata kerajaan merancang untuk mewujudkan 600 kampung seumpama itu di seluruh negeri dalam tempoh setahun mulai sekarang.

Malaysiakini

Harakahdaily pula diserang DDOS


Selepas dua portal berita altenatif - Sarawak Report dan Malaysiakini diserang penafian perkhidmatan (Distributed Denial of Service) beberapa hari lalu, kini Harakahdaily pula menerima serangan yang sama malam tadi.
Harakahdaily adalah portal online yang dimiliki oleh PAS dan membuat pelbagai liputan berita termasuk pilihan raya Sarawak di mana lima calon mereka bertanding di negeri itu.

"Jam 10 malam tadi, rangkaian pembekal khidmat DNS kami telah mengalami serangan DDoS (Distributed Denial of Service), lantas menyebabkan capaian ke atas laman-laman HarakahDaily dan PAS telah terjejas," petik kenyataan oleh Pasukan Teknikal IT Harakahdaily.

Sehubungan itu, menurut kenyataan itu lagi, pasukan teknikal portal berkenaan masih bertungkus lumus menangani serangan tersebut dan berjaya mengurangkan kerosakannya. Harakahdaily masih boleh dilayari hingga hari ini.

Menurut laporan portal itu lagi, sebagai langkah menghadapi serangan, pasukan teknikal IT telah menyediakan beberapa laman alternatif untuk melayari Harakahdaily dan PAS menjelang pilihan raya Sarawak ini jika serangan tersebut berterusan.

Untuk Harakahdaily:-
1. harakahdaily.net
2. myharakah.net
3. harakah.net.my

Bagi laman PAS:-
1. pas.org.my
2. parti-pas.org
3. parti-islam.org

"Segala kesulitan amat dikesali. Kami sedang mengambil langkah seterusnya untuk menangani masalah ini," petik kenyataaan Pasukan Teknikal IT Harakahdaily.

Sementara itu, ketua pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong memberitahu Malaysiakini setakat ini pihaknya tidak menghadapi masalah walaupun serangan itu masih berterusan.

"Jadi kita memantau 24 jam. Selepas apa yang berlaku kepada Sarawak Report dan Malaysiakini, cepat-cepat kita ambil perhatian dengan perkara ini," katanya.

Malaysiakini

Pengerusi BERSIH 2.0 pula dilarang masuk S'wak


Bekas presiden Majlis Peguam dan pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Datuk S Ambiga dihalang daripada memasuki Sarawak hari ini.

Beliau adalah aktivis keempat dalam tempoh 10 hari kempen pilihan raya Sarawak yang tidak dibenarkan masuk. Sebelum ini, aktivis, Steven Ng, Wong Chin Huatdan Haris Ibrahim juga ditahan setiba mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan dihantar pulang terus ke Kuala Lumpur.

Ambiga tiba pada jam 9 pagi ini bersama tiga anggota BERSIH.

Namun tiga yang lain Subramaniam Pillay mewakili Aliran, Ivy Josiah - WAO, dan Arul Prakkash dari Komas dibenarkan masuk.

“Saya tidak akan berdiam diri. Kenapa mereka takut dengan pengerusi BERSIH masuk ke Sarawak sehari sebelum pilihan raya?

“Apa yang mereka takutkan? Saya amat marah kerana hak saya memasuki negara sendiri dinafikan tanpa sebarang alasan. Hanya diberitahu arahan daripada ketua menteri,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Ambiga beliau akan mencabar halangan kemasukkan Sarawak di mahkamah.

Malaysiakini

Pakatan dakwa wang mula ditaburkan...

Tinggal 36 jam lagi sebelum hari pengundian dalam pilihan raya Sarawak, Pakatan Rakyat bakal berdepan cabaran paling sukar setelah sepuluh hari berkempen – 'politik wang' di kawasan luar bandar.

Bukan lagi rahsia, BN dikatakan sentiasa bersandar kepada imbuhan pilihan raya pada saat-saat akhir pengundian, taktik yang tidak mampu ditandingi gabungan PKR, DAP dan PAS.

Seorang kapitan daripada kawasan majoriti Iban di Sri Aman mendakwa, petugas BN akan menabur wang tunai kepada pengundi di rumah-rumah panjang pada malam 15 April bagi mempengaruhi undi pada hari sesudahnya.

“Saya dengar kali ini mereka beri RM50 untuk seorang pengundi,” katanya sambil mendakwa jumlah itu cukup bagi pengundi Iban di kawasan itu yang pendapatan bulanan mereka antara RM100 hingga RM300.

“Bulan lalu saya sudah kumpulkan senarai di kawasan saya dan berikan pada agen BN. Mereka akan mengedarkannya hari ini atau esok. Saya masih perlu kemaskini senarai itu.”

Jawatan kapitan atau pemimpin masyarakat Cina merupakan jawatan lantikan kerajaan yang dicadangkan oleh wakil rakyat BN setempat. Mereka mendapat elaun RM850 sebulan. Jawatan yang hampir sama bagi masyarakat Iban dipanggil tuai rumah (ketua rumah panjang).

Pembelian undi sudah mula

Pakatan juga mendakwa di banyak kerusi 'panas' di kawasan luar bandar pembelian undi sudah berlaku.

Di Ba'kelalan - pengurus kempen PKR Paul Bian mendakwa setiap keluarga mendapat antara RM1,000 to RM2,000 – dakwaan melibatkan jumlah wang tertinggi setakat ini. PKR menurunkan pengerusi majlis pimpinan negerinya Baru Bian, di kerusi ini.

Selain politik wang, PKR juga mendakwa mereka bergelut memeriksa daftar pemilih kerana percaya lebih separuh daripada pengundi kawasan itu dipindahhkan dari tempat pengundian mereka.

Dakwa Paul lagi, terdapat risalah menyatakan Baru membuat untung besar dengan menjadi peguam kepada penduduk kampung yang menghadapai masalah dengan tanah adat (NCR) masing-masing.

BN juga dilihat bertali-arus menyerang kawasan berkenaan dengan ramai tokoh heavyweight mereka seperti Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar Datuk Shafie Apdal dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual melawat kawasan itu hari ini.

Sampaikan cek

Paul bagaimanapun percaya, Baru yang bertanding kali ketiga mempunyai kelebihan kali ini berikutan “kempen awalnya”

“Kami bermula amat awal untuk mendidik pengundi. Saya yakin kami mendapat sokongan 60 peratus pengundi,” kata Paul lagi.

Di Belaga, sokongan pada BN didakwa mula kukuh apabila Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Datuk James Masing menyampaikan cek dan hakmilik untuk rumah panjang di Sungai Asap sebagai pampasan untuk penempatan semula tanah mereka.

Bagaimanapun, aktivis setempat dan penulis blog Wing Miku mendakwa, BN masih mempunyai masalah ekoran pampasan yang diberikan didakwa hanya separuh daripada apa yang dijanjikan manakala hak miliknya pula hanya selama 60 tahun.

Sungai Asap ialah tempat penempatan semula untuk penduduk yang terjejas oleh pembinaan empangan Bakun sebelum ini.

Di Beting Maro - kerusi paling berpotensi dimenangi PAS - parti Islam itu masih risau terhadap 'pembelian' undi yang didakwa melanda sejak beberapa hari lalu.

RM200 satu pintu

"Ada di satu tempat, RM200 diberi untuk satu pintu. Jadi, ada yang turut minta jumlah yang sama daripada PAS untuk menukar undi. Saya tidak beri. Ini rasuah.

"Saya tanya, hari ini dia beli RM200, esok dia ambil tanah harga RM2 juta. Kamu hendak RM200 atau mahu pertahan tanah?" kata seorang petugas PAS, Jamaludin Ishak.

Menurutnya lagi, PAS setakat ini yakin akan memenangi 10 peratus undi Iban manakala undi Melayu, peluang masih terbuka untuk kedua-dua pihak bertanding.

Sementara itu, di Saribas pula, selain berterusan turunnya tokoh heavyweight BN, petugas PKR turut mendakwa usaha mempengaruhi undi melalui pemberian wang dan babi di rumah panjang sudah berlaku.

"Kita harap, sebagai counter attack, kita boleh bawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berceramah di malam terakhir. Bukan lama, 30 minit sudah cukup (untuk pertahan sokongan)," kata pengarah pilihan raya PKR Saribas Abang Kassim Abang Bujang.

Menurutnya, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam dan Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Noh Omar dijadual berada di Saribas untuk berkempen di saat-saat akhir.

Setakat ini, Abang Kassim menambah, PKR berada hanya sedikit di depan dengan kedudukan 51-49.

Malaysiakini